Malaysia kembali jadi pengeluar automotif utama Asean: MAA
KUALA LUMPUR: Malaysia kembali meraih kedudukan sebagai pengeluar automotif terbesar di pasaran Asean untuk suku pertama 2009, mengambil alih daripada Thailand.
Malaysia yang sentiasa di belakang Thailand sejak 2003, mencatatkan jumlah keluaran industri (TIV) sebanyak 118,681 unit, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.
Beliau berkata, Thailand di tempat kedua dengan TIV sebanyak 107,774 unit diikuti dengan Indonesia pada 99,754 unit.
"Terdapat beberapa petunjuk yang menunjukkan wujud lebih keyakinan dalam pasaran. Saya rasa pakej rangsangan serta pengenalan model-model baru telah menolak permintaan di pasaran tempatan," katanya selepas perasmian Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini, hari ini.
Aishah berkata, kesan kelembapan ekonomi dunia dalam industri automotif tempatan agak sederhana disebabkan oleh langkah segera yang diambil oleh anggota MAA untuk menangani krisis tersebut.
"Pengajaran yang dipelajari daripada krisis kewangan 1997 sudah banyak membantu ahli kami mengambil pendekatan pro-akif dengan segera dan betul," katanya.
Mengenai sama ada kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) akan menyaksikan tarif lebih rendah untuk kereta tempatan, beliau berkata: "Bagi tarif tempatan seperti duti eksais dan cukai jualan, saya tidak jangka kerajaan akan mengurangkan struktur duti ini lagi."
Mulai 1 Januari 2010, duti import dari negara Asean akan dikurangkan daripada paras lima peratus sekarang ini kepada sifar peratus untuk kenderaan siap bina (CBU), katanya.
Aishah berkata, kajian semula NAP itu seharusnya dapat merangsang industri automotif dan juga menggalakkan penggunaan lebih banyak komponen tempatan bagi menyokong industri dalam negara.
"Kami juga mahu kerajaan mengadakan rancangan mengenai dasar jangka panjang industri automotif supaya ia akan menggalakkan pelabur ke dalam negara," katanya.
National Cars!
No comments:
Post a Comment